pelumba negara

Pelumba Negara Dibenarkan Berentap di Sepanyol

Pelumba Negara yang menyertai Kejohanan MotoGP Dunia sudah mendapat LAMPU HIJAU untuk beraksi di Jerez, Sepanyol daripada kerajaan.

Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, berita itu dimaklumkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. Walau bagaimanapun, pihaknya perlu menunggu surat rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu.

Pelumba Negara Lulus Untuk Ke Sepanyol

“Kelulusan diberikan kepada pelumba PETRONAS Yamaha SRT dari Malaysia dan juga pelumba negara dari pasukan lain, yang terbabit dengan kejohanan dunia di Jerez itu.

Datuk Razlan Razali

“Namun, kami masih menunggu surat rasmi daripada KBS, yang sudah pasti akan dimaklumkan sekali mengenai syarat yang ditetapkan oleh pihak KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pasukan PETRONAS Yamaha SRT, adalah pasukan MotoGP pertama Malaysia diwakili pelumba negara, Khairul Idham Pawi dalam kelas Moto3 mewakili PETRONAS Sprinta Racing.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 membabitkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan dua minggu di Jerez, iaitu pada 19 dan 26 Julai.

Mengulas mengenai pasukannya, Razlan percaya pasukan PETRONAS Yamaha SRT sudah bersiap sedia dan memulakan latihan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Beliau juga memaklumkan bahawa Khairul Idham dijangka terbang ke Sepanyol pada 13 Julai ini.

Sumber: Berita Harian

PETRONAS Yamaha SRT dibarisi Morbidelli dan Quartararo dalam kelas MotoGP. Bagi pasukan Petronas Sprinta Racing pula diwakili oleh Xavi Vierge dan Jake Dixon dalam kelas Moto2 serta Khairul Idham bersama John McPhee dalam kelas Moto3 – Berita Sukan

Leave a Comment