LUQMAN

Pulak Dah! Luqman Beri Bayangan Kekal Di Selangor 2

Bayangan masa depan pemain muda sedang meningkat naik, Luqman Hakim Shamsudin mungkin sudah diketahui dengan kenyataan terbarunya kepada Astro Arena.

Menurut Luqman, misi utama beliau ketika ini adalah untuk bersama rakan-rakannya membantu skuad B-19 negara di Kejohanan AFC B-19, seterusnya membawa Malaysia layak ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun hadapan.

Luqman Beri Bayangan Kekal?

Mahu bersama skuad B-19

“Setiap pemain mesti ada cita-cita. Fikiran utama saya mestilah untuk bersama dengan skuad B-19 negara. Sebelum ini, saya banyak bermain bersama mereka, jadi kalau boleh, saya masih mahu bermain bersama mereka,” ungkap Luqman.

Kenyataannya itu seolah-olah memberi bayangan pemain itu mahu terpilih mewakili skuad muda negara yang akan beraksi di Kejohanan AFC B-19 pada Oktober ini. Justeru itu, ura-ura penghijrahannya ke KV Kortrijk tampak kian samar.

Kelab Belgium itu telah memanggilnya untuk bersama mereka selepas kelonggaran pergerakan diperolehi baru-baru ini. Luqman sendiri telah menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk pada September tahun lalu.

“Setiap pemain pasti mahu pasukannya layak (ke Piala Dunia),” tambahnya lagi yang merupakan penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 2018. Ketika itu skuad negara menamatkan saingan di kedudukan tercorot di peringkat kumpulan.

Lebih mudah jika kekal di Malaysia – Brad Maloney

Sementara itu, pengendali skuad B-19, Brad Maloney menjelaskan sebolehnya beliau mahu Luqman Hakim kekal di negara ini sehingga berakhirnya saingan kejohanan itu. tujuannya supaya beliau boleh memantau perkembangan pemain muda berkenaan.

Namun beliau tetap menyokong apa jua keputusan yang dibuat oleh Luqman sama ada mahu kekal di Selangor 2 dan mendapat minit permainan atau berhijrah ke KV Kortrijk untuk perkembangan bakatnya.

“Sudah tentu jika beliau kekal di sini, ia sangat baik untuk menyaksikannya bermain di peringkat senior. Jika beliau memilih untuk ke sana, kita turut akan terus memantau keadaannya dan berhubung dengannya,” ujar Brad Maloney kepada Astro Arena

“Namun, ianya lebih bagus untuk melihatnya bermain dalam aksi kompetitif di peringkat senior,” tambahnya lagi. Mungkin faktor ini akan membuatkan Luqman memilih untuk kekal di Malaysia bagi mendapatkan minit permainan di Selangor 2.

Baca – Teong Kim Bersuara, “Jangan Main Emosi Lokman”

Jadi Mainan media

Semua maklum kerana sebelum ini Luqman Hakim menjadi tumpuan termasuklah daripada media di England apabila dikaitkan dengan perpindahan ke kelab yang bersaing di English Premier League (EPL) iaitu kelab Newcastle United. Namun Newcastle sendiri tiada perancangan untuk membawa masuk muka baru.

Menurut laporan HITC, kesukaran pemain daripada Malaysia dan Asia Tenggara untuk mendapat permit bermain di sana, Luqman mungkin telah dijadikan sebagai taktik pemasaran untuk meningkatkan perhatian terhadap bakatnya.

Beliau merupakan pemain yang bernaung di bawah agensi EL-EF Sport yang berpengkalan di London. Luqman yang sepatutnya bertolak ke Belgium secara tiba-tiba dilihat seolah-olah mula bermain tarik tali. Bagaimana status kontrak lima tahun yang telah ditandatangani Luqman bersama KV Kortrijk?

Sumber: Semuanyabola

Kekal ataupun tidak di Malaysia, Luqman Hakim lebih tahu bagaimana untuk menguruskan kariernya dengan bantuan agensnya. Jika kekal di sini, beliau harus memastikan minit permainan bersama Selangor 2 diperolehi seterusnya beliau akan mewakili skuad negara di Kejohanan AFC B-19?

Leave a Comment