FAM

FAM Nyaris Kena Game Dengan Pemain Ini

Keinginan Marcel Kalonda menyarung jersi Harimau Malaya tidak kesampaian apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sahkan satu dokumen penting yang dikemukakan pemain itu didapati tidak sahih.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan pihaknya berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejurus Kalonda yang berasal dari Congo itu menghantar dokumen yang diperlukan FAM bagi tujuan pengesahan.

Bukan itu saja, FAM turut menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) serta wakil konsulat Congo di Malaysia bagi membuat semakan dan pengesahan berkaitan dokumen berkenaan.

FAM Nyaris Kena Game Dengan Kalonda

Pada hari Isnin, JPN memberi maklum balas kepada FAM dan memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen yang dihantar pemain berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

“Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Stuart menegaskan FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status dan tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkaitan.

Sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi, FAM bertanggungjawab untuk mendapatkan sesuatu maklumat bagi mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan.

Stuart berkata, atas sebab itulah FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda sebelum ini. FAM juga memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.

Netizen dan peminat bolasepak negara dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia. Ini kerana mereka perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu sebelum boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Terdahulu, pemain yang beraksi bersama ZESCO United dalam Liga Zambia itu dilihat berpeluang cerah untuk beraksi bersama Skuad Harimau Malaya sebagai pemain warisan berikutan dikaitkan sebagai ada hubungan dengan negara ini kerana datuknya dikatakan berasal dari Sabah.

Sumber: Berita Harian

Apapun syabas diucapkan kepada FAM kerana tidak cepat terpengaruh dengan sesuatu perkara dan membuat penelitian yang sepatutnya agar tidak menyalahi peraturan FIFA disebabkan oleh sesetengah individu.

Leave a Comment