Pasukan Kedah

Lelong Pasukan Kedah dan Dapatkan Pemilik Baru

Sudah tiba pasukan Kedah yang sedang dalam bebanan hutang berjumlah RM10.6 juta ‘dilelong’. Tujuannya adalah untuk mendapatkan pemilik baru sekaligus diswastakan dan diletakkan sebagai pasukan berstatus kelab seperti yang disyaratkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pendirian tegas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor tidak mahu menggunakan duit kerajaan negeri adalah tepat dan bijak menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa.

Lelong Pasukan Kedah Selesai Masalah?

Ia juga sangat bertepatan dengan polisi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak menggalakkan dana rakyat digunakan untuk bola sepak sebaliknya perlu dijana menerusi penajaan, hasil jualan barangan pasukan ataupun pelaburan dari pemilik sesebuah kelab.

Beliau berkata Sanusi tidak perlu bebankan dirinya mencari penaja. Apa yang perlu dilakukan adalah mempercepatkan penjualan pasukan dengan mencari pemilik kelab. Presiden KFA juga boleh menggubal perlembagaan persatuan dengan memisahkan pengurusan pasukan dan KFA agar dapat diswastakan selari dengan tuntutan FIFA.

Kedah FA
Semoga masalah yang berlaku dalam pasukan Kedah dapat diselesaikan segera dan pasukan ini kekal di landasannya. Foto: kedah FA

“Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh Presiden KFA adalah melakukan audit dalaman secara terperinci. Selepas itu buat lelongan kepada sesiapa yang berminat untuk membeli pasukan Kedah.

“Kalau nak jual seringgit pun boleh di mana selepas itu pemilik baru mesti menjelaskan hutang lama sejumlah RM10.6 juta itu.

“Saya bagi contoh Chelsea, dulu (tahun 1982) kelab itu dijual pada harga £1 pound saja tetapi pemilik barunya Kenneth William Bates kena hutang mencecah £1.85 juta.

“Jadi KFA pun boleh buat. Bila dah ada pemilik, KFA boleh fokuskan soal pembangunan saja di peringkat remaja yang tidak menelan kos yang tinggi.

“Malah, duit rakyat langsung tidak akan terusik dan boleh digunakan untuk membantu pembangunan negeri dan golongan-golongan yang memerlukan,” katanya.

Semalam Sanusi mendedahkan, skuad Helang Merah kini berhadapan dengan bebanan tinggalan hutang lama berjumlah RM10.6 juta termasuk gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tunggakan tiket pengangkutan.

Sumber: Metro

Baca: Tukar Kepada Status FC (Kelab) Atau Lupakan Saingan Asia

Nampaknya semakin berat kemelut yang melanda pasukan helang Merah. Tidak adakah orang-orang kaya yang mahu membeli pasukan ini. Kalau kita lihat jiran kita di utara, kebanyakan pemilik kelab adalah jutawan-jutawan, peniaga-peniaga atau taikun-taikun.

Namun tidak di Malaysia yang sememangnya bergantung kepada Kerajaan Negeri. Hanya segelintir kelab sahaja yang mampu bersaing namun kebanyakannya hilang separuh jalan.

Mungkin faktor lian juga adalah kita sebagai penyokong hanya memberi sokongan penuh kepada pasukan negeri bukannya kelab. Apapun alasan, mungkin tidak semua peminat terutamanya penyokong pasukan Kedah yang bersetuju dengan cadangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu.

Leave a Comment